Sunday 25 March 2012

PERISIAN KURSUS (BHGN.2)

        Cabaran yang dilalui oleh guru-guru matematik sebenarnya boleh ditangani dengan adanya perkembangan kaedah pembelajaran yang terkini.  Kaedah 'chalk and talk' dan kaedah tradisional memang membebankan guru. Pengunaan teknologi seperti komputer dapat membantu P&P guru dalam bilik darjah. Selain menguasai pengetahuan dan pelbagai kaedah dalam mata pelajaran matematik, guru perlu memahami dan mengamalkan sepenuhnya saranan dan falsafah serta saranan yang terkandung dalam kurikulum pendidikan negara KBSR dan KBSM demi memfokuskan arah tuju guru-guru matematik dalam melaksanakan tugas perguruan. Tanpa pengorbanan guru runtuhlah tamadun suatu bangsa. 
Namum demikian, kekurangan perisian Program Berbantukan Komputer yang sesuai menghalang guru-guru daripada menggunakan komputer dalam pengajaran walaupun mereka menyedari akan kelebihan-kelebihannya. Guru-guru seharusnya diberi pendedahan dan latihan yang sesuai untuk membolehkan mereka memanfaatkan komputer yang dibekalkan ke sekolah-sekolah. Pihak sekolah juga perlu memikirkan cara-cara yang berkesan untuk menggalakkan guru-guru menggunakan komputer dalam pengajaran. Aspek teknologi telah digabungkan dalam kurikulum matematik di sekolah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap yang positif terhadap teknologi dari peringkat awal lagi.

PERISIAN KURSUS (BHGN.1)

Penggunaan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran matematik amat penting. Ini kerana National Council of Teachers of Mathematics (NCTM) telah mengenalpasti mengenai Prinsip Teknologi sebagai salah satu daripada enam prinsip kualiti pendidikan matematik. Teknologi merupakan alat yang penting amat diperlukan untuk proses pengajaran dan pembelajaran subjek matematik yang berkesan. Ia sekali gus akan membolehkan matapelajaran matematik dapat diajar dan dapat mengukuhkan lagi proses pembelajaran dalam kalangan pelajar.
Terdapat pelbagai alatan media pengajaran yang boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kalkulator, perisisan komputer dan alatan yang berteknologi yang lain juga dapat membantu dalam proses pengumpulan, merekod, menyusun dan menganalisis data. Teknologi juga boleh mengukuhkan dan menguatkan kuasa pengiraan dan lebih meyakinkan serta tepat dan menghasilkan lukisan, graf dan pengiraan yang dinamik. Dengan adanya peralatan sebegini, pelajar boleh melanjutkan dan meluaskan kualiti dalam mencari punca kepada sesuatu masalah matematik dengan lebih nyata.
Hasil kajian Sham Ibrahim (2003) ke atas 119 orang guru sekolah menengah daerah Jelebu mendapati bahawa perisian multimedia mampu memenuhi masa pengajaran dengan efektif, membantu guru menjalankan aktiviti dalam kelas, dapat mencapai objektif yang disasarkan, mempertingkatkan minat pelajar dan boleh dijadikan bahan rujukan yang berguna kepada guru.
Dalam pendidikan matematik, komputer melibatkan beberapa penggunaan aplikasi seperti hamparan elektronik, multimedia, internet dan Geometer's Sketchpad (GSP). Geometer's Sketchpad, contohnya, digunakan untuk mengajar topik geometri. Melaluinya, pelajar boleh meneroka pembelajaran matematik dengan lebih berkesan. Pelajar berminat untuk membuat penerokaan alam lain yang baru ditemuinya. Mereka akanmemperolehi suasana pembelajaran yang baru danmaklumat serta informasi yang terkini. Di samping itu, juga dapat menggalakkan mereka belajar secara berkumpulan dan menyemai semangat belajar yang agresif sertalebih berfikiran kritikal.
Dalam konteks program matematik yang lebih jelas, teknologi meningkat dan berkembang dalam kedua-dua skop iaitu kandungan matematik dan juga susunan situasi masalah yang berkait dengan pencapaian pelajar. Alatan pengiraan yang canggih dan berkuasa, pembinaan atau pembuatan dan pembentangan secara visual dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mencapai kandungan matematik dan konsep matematik yang mungkin menjadi lebih kompleks kepada pelajar untuk diselidik. Dengan menggunakan alatan teknologi, boleh membantu dalam menyelesaikan sesuatu masalah dengan lebih menarik dan memudahkan pencapaian pelajar melalui pelbagai hasil pembelajaran di peringkat tinggi seperti refleksi, pertimbangan, kedudukan masalah, penyelesaian masalah dan membuat keputusan.
Dalam melaksanakan tugas pengajaran, guru harus berusaha untuk meningkatkan kebekesanannya. Pengajaran yang berkesan menghasilkan pembelajaran yang diharapkan. Pembelajaran yang baik berlaku apabila pelajar melibatkan diri. Dengan demikian, biasanya pelajar akan lebih mengingati sesuatu hasil daripada perbuatan atau pengalamannya sendiri. Di sinilah pentingnya peranan teknologi dalam pendidikan matematik hari ini. Penyertaan aktif oleh para pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran membantu mereka belajar secara berkesan.
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran matematik menjadi lebih bermakna melalui penggunaan komputer atau peralatan berteknologi yang lain. Peralatan canggih ini bukan sahaja memudahkan penyampaian konsep matematik tetapi dapat membuktikan dengan jelas konjektur-konjektur yang timbul dalam tajuk-tajuk yang diajar. Teknologi amat diperlukan dalam proses mengimbangi program matematik. Guru perlu bersedia untuk dijadikan sebagai pembuat keputusan yang berilmu pengetahuan dalam menentukan bila dan bagaimana pelajar mereka boleh menggunakan peralatan teknologi tersebut dengan lebih berkesan.
Progam persediaan pembangunan profesion khas untuk bakal guru dan juga guru dalam perkhidmatan perlu untuk mempengaruhi perangai dan watak secara perlahan-lahan untuk mengkaji dengan sentiasa mengembangkan peralatan teknologi dan meluaskan kesan teknologi kepada pendidikan matematik. Untuk membolehkan pembelajaran berlaku dengan berkesan, guru haruslah menyediakan atau memilih teknologi yang bersesuaian dengan keupayaan pelajar. Di samping itu, teknologi juga haruslah selaras dengan aktiviti pembelajaran serta dapat mencapai objektif pengajaran.
Dalam pada itu berdasarkan kepada beberapa kajian yang telah dijalankan, didapati pelajar yang menggunakan komputer pembelajaran matematik didapati mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks. Perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah. Kumpulan pelajar yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat menggunakannya dalam bidang-bidang lain.
Benarkah pelajar-pelajar kita tidak berminat belajar matematik? Adakah guru-guru matematik pula tidak pandai menarik minat pelajar-pelajarnya mempelajari matematik? Atau salahkah dasar pendidikan Malaysia mengubal sukatan pendidikan matematik di negara ini? Persoalan demi persoalan diajukan. Akhirnya terdengarkan seperti nyanyian "Bangau,Oh Bangau"; yang terlibat menuding jari menuduh kesalahan kepada yang lain. Sebagai guru matematik,  persoalan yang sentiasa bermain di fikiran ialah bagaimana menggunakan pelbagai kaedah agar pelajar-pelajarnya cepat memahami apa yang diajar, juga boleh mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dalam apa juga situasi permasalahan matematik. Apa yang diharapkan juga ialah supaya pelajar  terus mengingati apa yang dipelajari itu seberapa kekal yang boleh.
Kelembapan dan kebuntuan perkembangan pengajaran berbantukan komputer dalam pendidikan matematik khususnya, pada pertengahan tahun-tahun 70an dan 80an adalah disebabkan oleh kos perkakasan komputer yang terlalu tinggi, bilangan perisian yang terhad, kemahiran dan pengetahuan tentang komputer rendah dan tidak kurang juga kebimbangan serta kurang keyakinan di kalangan pendidik. Walau bagaimana pun, keadaan telah berubah di mana harga komputer telah banyak menurun dan mampu dibeli oleh ramai orang serta berbagai kursus telah dan sedang dianjurkan oleh pihak kerajaan untuk memberi kesedaran, keyakinan, pengetahuan serta kemahiran dalam penggunaan komputer.
Jika dilihat pada penggunaan perisian kursus, lebih ramai guru-guru sains yang menggunakannya berbanding dengan guru-guru Matematik. Ini mungkin kerana peralatan-peralatan ICT yang diperlukan untuk menggunakan perisian kursus telah dilengkapkan di dalam makmal sains. Guru-guru sains tidak perlu membawa peralatan yang banyak ke dalam kelas dan tidak perlu menempah bilik tayangan atau bilik media untuk menggunakan perisian kursus ini. Di samping itu, setiap makmal sains mempunyai pembantu makmal yang boleh membantu guru-guru memasang dan menutup kembali peralatan-peralatan yang telah digunakan. Berbanding guru-guru Matematik terpaksa menggunakan bilik tayangan atau bilik media atau terpaksa membawa peralatan seperti ”laptop, lcd, extension wire” di samping buku rekod mengajar ke dalam kelas.
Cabaran yang ditanggung oleh guru matematik bukannya sedikit. Selain memenuhi tuntutan kerja perkeranian yang menimbun, guru matematik juga terpaksa menyediakan bahan pengajaran untuk P&P yang mendatang. Pemilihan alat bantu mengajar perlu sesuai, penyediaan lembaran kerja yang pelbagai buat pelajar yang pelbagai tahap perlu disediakan. Di bilik darjah pula guru perlu pandai memilih kaedah yang dapat menarik perhatian pelajarnya dengan apa yang diajar. Pelajar tidak harus terasa tertekan, merasa bosan malah merasa benci terhadap matematik. Guru juga yang harus memain peranan agar pelajar melempar jauh perasaan negatif dan fobia mereka terhadap matematik. Soalnya, pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang dan tahap pencapaian yang berbeza, malah mempunyai corak disiplin yang mengharukan juga harus ditangani oleh guru matematik.
        Sekolah Bestari memungkinkan guru-guru matematik yang selama ini menjadi sumber maklumat bertukar tugas sebagai filisitator. Guru sebagai pemandu arah kepada pelajar, mereka sendiri yang  mencari maklumat sendiri tanpa sempadan. Di sekolah bestari,  guru digalakkan menggunakan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran untuk mengoptimumkan pembelajaran.  Strategi yang dicadangkan berasaskan pada satu kontinum dari pemusatan guru ke pemusatan pelajar.  Strategi yang dipilih untuk pengajaran dan pembelajaran efektif mesti memenuhi keperluan pelajar dan ia sesuai dengan iklim sekolah.
        Kaedah Pembelajaran Koperatif pula adalah suatu strategi pengajaran yang melibatkan pelajar-pelajar saling bantu membantu diantara satu sama lain dalam kumpulan kecil dengan mempunyai matlamat bersama. Kajian terkini mendapati penggunaan Pembelajaran Koperatif boleh meningkatkan dan mewujudkan pencapaian pelajar, pemikiran kritikal dan kreatif, sikap positif terhadap matapelajaran dan sekolah, kemahiran sosial dan interaksi kumpulan, keyakinan diri dan saling menghormati. Tugas guru sebagai tenaga pengajar beralih kepada penggalak agar mereka terangsang untuk  menyiasat, meneroka dan mencari sendiri maklumat yang dikehendaki terutama dalam matematik.
        Menurut Johnson, Johnson, and Smith (1991) pembelajaran koperatif perlu mengandungi  'Positive Interdependence' iaitu setiap ahli bergantung antara satu sama lain untuk mencapai sesuatu matlamat. Jika mereka gagal memainkan peranan masing-masing, kumpulan itu akan menanggung akibatnya. 'Individual Accountability',  iaitu setiap ahli dalam kumpulan adalah bertanggung jawab kepada maklumatnya dan menguasai sepenuhnya bahan-bahan pelajaran berkaitan. 'Face to face promotive interaction',  iaitu walaupun setengah kerja dalam kumpulan boleh dibahagi-bahagikan tetapi ada kalanya ia perlukan maklum balas, cabar-mencabar dan galakan secara interaktif dari rakan-rakan lain dalam kumpulan. 'Appropriate use of collaborative skill' iaitu pelajar digalakkan membentuk dan dilatih saling mempercayai, kemahiran kepimpinan, membuat keputusan, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran pengurusan konflik. 'Group processing' adalah  setiap pasukan membentuk matlamat kumpulan, dari masa ke semasa membuat penilaian tentang pencapaian sebagai satu kumpulan dan mengenalpasti masalah untuk tujuan kebaikan masa datang.
        Terdapat beberapa model yang telah direka oleh para pengkaji dalam merealisasikan kaedah Pembelajaran Koperatif bergantung kepada kesesuaian pelajar iaitu diantaranya ialah The Structural Approach (Spencer Kagan), The Learning Together Approach (Johnson & Johnson), STAD, TGT, Jigsaw (Slavin) dan Group Investigation (Sharan & Shacar).
        Proses pembelajaran yang berkesan sebenarnya dipengaruhi oleh banyak faktor. Antaranya termasuklah faktor motivasi, kepantasan bertindak, suasana sekeliling dan mod serta cara penyampaian bahan pembelajaran tersebut. Boleh dikatakan tiada bukti kukuh yang memperkatakan tentang perbezaan cara pembelajaran antara pelajar yang pintar, sederhana dan yang lembab, kerana proses yang berlaku dalam otak manusia adalah sama. Yang membezakan ketiga-tiga kategori pelajar itu hanyalah dari segi motivasi dan kepantasan bertindak. Proses pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer banyak menolong dalam hal ini. Perisian kursus yang dibina dengan teliti boleh menolong meransang minda pelajar untuk terus mempamerkan kebolehan-kebolehan golongan ini yang kadang-kadang tidak terjangkau oleh minda manusia dewasa.
        Gabungan antara teknologi komputer dan kepakaran tenaga pengajar akan menghasilkan satu Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) yang bermutu. Salah satu ciri-ciri yang baik untuk sebuah PPBK yang bermutu ialah dengan memasukkan unsur teori pembelajaran dalam perisian. Sistem maklumat melalui komputer dapat menarik perhatian pelajar terutama matematik yang merupakan pelajaran yang digeruni. Satu menu yang menarik disediakan secara persembahan bermultimedia. Pelajar diberitahu objektif pelajaran dengan paparan tentang penyataan objektif yang perlu dicapai oleh pelajar bila menggunakan perisian. Penggunaan komputer dapat merangsang pelajar untuk mengingat semula (recall) isi kandungan yang telah dipelajari tambahan pula pembelajaran dapat dipersembahkan secara menarik dengan beberapa faktor seperti warna, font, grafik dan rekaletak yang boleh menarik perhatian dan meransang pelajar untuk terus menggunakan perisian.
        Selain daripada itu perisian PPBK juga menyediakan bimbingan belajar iaitu  satu menu khusus untuk membantu pelajar  yang bermasalah terutama bahagian asas disamping dapat mengesan kemajuan, menilai dan mentaksir kemajuan pelajar dengan mengemukakan soalan atau memberi tugasan supaya pelajar dapat mengaplikasikan ilmu  yang dipelajari . Perisian seperti Geometer's Sketchpad, Autograph dan juga kalkulator grafik dapat membuka minda pelajar untuk menyiasat serta meneroka sendiri teori-teori dalam pengajaran matematik. Malah dalam penggunaan internet , kita akan dapati pelbagai  maklumat mengenai matematik boleh didapati; sejarah matematik,  kaedah pengajaran dan permainan-permainan berunsur matematik yang boleh menghiburkan pelajar.

Saturday 24 March 2012

PERMASALAHAN PEMBEKALAN KOMPUTER


Walaupun dikatakan ketinggalan berbanding sektor lain, program pengkomputeran di sekolah semakin meningkat dan diberi perhatian. Menurut Schofield (1995), bilangan komputer di kebanyakan sekolah semakin meningkat. Hari demi hari penggunaan komputer bukan sahaja semakin meluas tetapi juga semakin diperlukan di lebih banyak sekolah. Program pengkomputeran mula diperkenalkan ke sekolah-sekolah di Malaysia secara rasminya pada tahun 1986 iaitu melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. (5) Tahun 1986. Bermula dari tarikh tersebut, program pengkomputeran di sekolah-sekolah mula dilaksanakan dan berkembang secara  beransur-ansur mengikut keperluan dan kemampuan yang dimiliki. Bermula dengan kelab-kelab komputer yang kebanyakannya ditubuh atas inisiatif sekolah-sekolah sendiri (Othman Khalid, 1992) telah berkembang kepada apa yang ada sekarang.
Namun begitu, menurut KPM (2001), penggunaan komputer telah mula diperkenalkan lebih awal iaitu semenjak pertengahan tahun 1960-an lagi. Ketika mula diperkenalkan, penggunaannya didapati terhad di kementerian dan untuk tujuan pengurusan sahaja. Bermula dengan pengurusan dan pengendalian peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, kemudian penggunaannya telah diperluas kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan diikuti dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Pada masa yang sama komputer juga digunakan untuk mengumpul, memproses, dan menganalisis data sekolah rendah dan menengah bagi tujuan perancangan pendidikan.
Pada awal tahun 1990-an, kementerian mula melaksanakan beberapa projek pendidikan yang berasaskan ICT dan pembekalan komputer, khususnya sebagai penyediaan infrastruktur ICT. Pada 5hb. Julai, 1992, sebanyak 60 buah sekolah menengah luar bandar dibekalkan dengan 21 set komputer bagi setiap sekolah. Bermula dari tarikh tersebut, usaha-usaha menerapkan penggunaan komputer ke dalam sistem pendidikan juga menjadi semakin menyerlah dan menyeluruh. Selaras dengan perkembangan berkaitan, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Bahagian Pendidikan Guru mula melaksanakan program latihan praperkhidmatan dalam ICT kepada guru-guru pelatih di maktab perguruan bagi Kursus Diploma Perguruan Malaysia pada awal tahun 1990-an. Pelaksanaan program tersebut kemudiannya disusuli dengan Kursus Pengajian Teknologi Maklumat kepada guru-guru pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah. Selain kursus-kursus praperkhidmatan, tidak ketinggalan dianjurkan kursus-kursus dalam perkhidmatan jangka pendek dan kursus khas.
Selain Bahagian Pendidikan Guru, program-program latihan kepada guru sekolah rendah dan menengah turut dianjurkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan melalui Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Pusat Kegiatan Guru. Institut Aminuddin Baki (IAB) juga tidak ketinggalan menyediakan latihan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran warga pendidikan dalam ICT. Kumpulan sasaran IAB ialah para pentadbir dan kakitangan sokongan di peringkat sekolah. Pada tahun 1994, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan pula Projek Rintis Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik. Projek tersebut dilaksanakan di 15 buah sekolah rendah luar bandar di Selangor. Setiap sekolah dibekalkan dengan 21 set komputer sementara perisian kursus pendidikan disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Dalam perkembangan berkaitan, pada tahun 1996 penyediaan infrastruktur ICT telah diperluaskan ke 209 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah. Setiap buah sekolah menengah tersebut dibekalkan dengan 21 set komputer, termasuk sebuah komputer pelayan (server) untuk Persekitaran Rangkaian Setempat (Local Area Network) tanpa kemudahan internet. Walau bagaimanapun komputer yang dibekalkan di sekolah rendah tidak dirangkaikan. Bagi tempoh tahun 1999 hingga 2000, sebanyak 332 buah sekolah lagi (110 buah sekolah menengah dan 222 buah sekolah rendah) di seluruh negara telah menerima komputer iaitu sebanyak 10 set komputer bagi setiap sekolah.
Komputer yang dibekalkan ke sekolah-sekolah pada peringkat awal pelaksanaan program Komputer Dalam Pendidikan (KDP) ialah di bawah peruntukan projek-projek khas. Sementara komputer yang dibekalkan antara tahun 1999 hingga 2000 ialah komputer multimedia jenis Pentium III yang sama ada disewa daripada MIMOS atau melalui tender terbuka untuk Sabah dan Sarawak. Untuk menempatkan komputer yang dibekalkan, bilik darjah diubah suai menjadi makmal komputer.
Menjelang tahun 2000, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pula Projek Penyediaan Infrastruktur Fizikal dan Pengkomputeran Sekolah Menengah dan Rendah di 2,148 buah sekolah rendah dan menengah. Projek tersebut dilaksanakan secara berperingkat dengan mendahulukan sekolah-sekolah yang mempunyai enrolmen melebihi 150 orang dan mempunyai bekalan eletrik. Makmal komputer yang dibina dilengkapi dengan komputer terkini berserta kemudahan persekitaran rangkaian setempat dan internet. Selain komputer, projek tersebut turut membekalkan projektor Liquid Crystal Display (LCD). Jumlah peruntukan makmal, komputer, komputer pelayan, dan projektor LCD kepada sekolah-sekolah diberikan berdasarkan enrolmen pelajar.
Kerajaan Malaysia amat serius untuk menerapkan penggunaan komputer dalam sistem pendidikan. Jutaan ringgit telah dilabur untuk membina makmal serta rangkaian komputer. Tujuan pelaburan tersebut ialah untuk mempercepatkan usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi memenuhi keperluan pasaran semasa. Di sidang parlimen, Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan kepada dewan bahawa sehingga bulan September 2003 sahaja sudah terdapat 4,297 projek makmal komputer sekolah (3,700 makmal baru dan 597 makmal ubah suai) sudah diluluskan pembinaannya.
Dalam mengharungi kemajuan ICT, pihak Kementerian Pendidikan sendiri banyak menghadapi masalah atau cabarannya.  Namun begitu, cabaran-cabaran itu dianggap sebagai satu perintis kejayaan dan harus diselesaikan serta ditangani dengan bijak.  Strategi pelaksanaannya juga harus dirancang bagi melicinkan lagi usaha meningkatkan penggunaan ICT di sekolah. Di antara cabaran-cabaran dan strategi pelaksanaannya adalah seperti berikut,
Sekolah yang masih tidak mempunyai bekalan elektrik menjejaskan pembekalan kemudahan ICT dalam pengurusan dan pentadbiran serta P & P.  Kebanyakan sekolah rendah hanya dibekalkan dengan elektrik satu fasa.  Untuk kegunaan makmal komputer, bekalan elektrik perlu dinaik taraf kepada tiga fasa.  Adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk menyediakan bekalan elektrik tiga fasa kepada sekolah bagi membolehkan pelaksanaan ICT sepenuhnya. 
Makmal komputer yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan sebagai makmal komputer mata pelajaran elektif.  Sebuah makmal komputer hanya dapat menampung keperluan untuk lima kelas sahaja kerana setiap mata pelajaran berasaskan ICT memerlukan empat hingga lima waktu mengajar seminggu.  Adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk menambah bilangan makmal komputer di semua sekolah menengah bagi menentukan mata pelajaran elektif ICT dapat ditawarkan. 
Pembekalan komputer atau notebook kepada guru dan pensyarah untuk kegunaan P&P masih tidak mencukupi.  Hanya sebilangan kecil guru dan pensyarah yang memperoleh kemudahan tersebut melalui projek atau sumbangan tertentu.  Untuk meningkatkan mutu P&P, KPM akan membekalkan komputer kepada guru dengan nisbah 1 : 10 bagi tahun 2002 hingga 2003.  Nisbah ini akan meningkat kepada 1 : 5 pada tahun 2004 hingga 2005, manakala pada tahun 2006 hingga 2010, nisbah komputer berbanding guru adalah 1 : 1.     
Walaupun perancangan telah dibuat, perkakasan komputer yang dibekalkan kepada Jabatan/Bahagian masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan personel KPM disebabkan kekangan peruntukan kewangan.  Di samping itu, kebanyakan komputer yang dibekalkan adalah model berkapasiti rendah dan tidak dirangkaikan kepada kemudahan internet sedangkan keperluan untuk kemudahan ini semakin meningkat atas desakan tugas, keperluan komunikasi, dan memenuhi cabaran merealisasikan e-kerajaan.  Sebagai contoh, pada masa kini, pembekalan komputer dengan nisbah 1 : 1 bagi pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 3 dan ke atas) masih belum mencapai sasarannya.  Adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk menyediakan perkakasan komputer yang terkini dan mencukupi kepada semua peringkat pengurusan KPM ke arah mengukuhkan infrastruktur ICT dalam pendidikan.

Friday 23 March 2012

Penggunaan GSP dalam p&p Matematik


GSP adalah satu perisian komputer yang boleh digunakan untuk membantu pengajaran dan pembelajaran pembelajaran geometri. Perisian GSP digunakan untuk mengajar topik geometri iaitu membuat visualisasi, membuat penerokaan dan penyiasatan, membuat analisis dan membuat deduksi secara tidak formal. GSP digunakan sebagai alat tunjuk cara dimana pelajar boleh melihat sendiri cara dan bagaimana sesuatu bentuk geometri dibina dan seterusnya menentukan sifat-sifat geometri (Nursazlainey Zakaria, 2005).

            GSP juga menyediakan pelbagai contoh penyiasatan untuk pelajar berbincang tentang proses dan hasil tugasan. Sebagai contoh, guru boleh menyuruh pelajar menyiasat nisbah perimeter daripada diameter poligon sekata, meneroka soalan-soalan berkaitan dengan tangent sebuah bulatan dan maslaah-masalah terbuka. Pelajar-pelajar boleh melakukan pembinaan geometri dan mereka sendiri menentukan formula untuk menghuraikan perhubungan-perhubungan yang mereka temui. Pelajar bekerja dalam kumpulan secara koperatif untuk menyiasat sifat-sifat geometri, memerhatikan corak-corak dan menggunakan penaakulan untuk membuat konjektur-konjektur. Pembinaan yang dilakukan dengan menggunakan GSP adalah tepat dan mudah diperbetulkan sekiranya terdapat kesilapan-kesilapan atau membuat pembaharuan.

Kewujudan program menonjolkan keupayaannya untuk  menggambarkan rajah geometri seperti Euclidean Geometri. GSP banyak membantu pelajar menerokai dan mencipta bentuk-bentuk geometri sehingga ke peringkat membuat konjektur mengenai rajah tersebut. Pembelajaran geometri tidak lagi berakhir kepada noktah tapi sentiasa mencapah ke aras yang lebih tinggi. Ia memudahkan pelajar menemui ciri-ciri spesifik dan menjana pelajar membuat open ended questions.
Michael Serra, dalam bukunya, Discovery Geometry: An Inductive Approach (1999) menerangkan bahawa melalui pendekatan terhadap GSP membolehkan pelajar membina rajah geometri sendiri dan berbincang bersama rakan mengenai konjektur yang terhasil, melalui pengamatan kepada pola–pola. Pelajar selanjutnya akan memberi alasan kewujudan konjektur berkenaan. Pierre Van Hiede dan Dina Van Hiede – Geldoft menyatakan melalui GSP secara tidak langsung mengarahkan pelajar membuat visualisasi, analisis, deduksi informal dan deduksi formal.

Seterusnya membolehkan pelajar menemukan tiga peringkat pembinan rumus matematik yang terdiri dari peringkat permulaan, diikuti dengan peringkat visualisasi, kemudian peringkat analisis dan seterusnya membuat konjektur sebelum membuktikan kebenaranya. Pelajar dapat menerokai secara dinamik serta membuat perubahan kepada rajah geometri dengan lebih analitik. Melaluinya pelajar menjalani demonstrasi interaktif, membuat kolaborasi dan meyuarakan hasil dapatannya. Dalam erti kata yang lain, penggunaan GSP ini secara tidak disedari mencetuskan cooperative learning.


Thursday 22 March 2012

Sejarah Geometer's Sketchpad

Hari ini, penggunaan teknologi dalam p&p di bilik darjah banyak membantu mempertingkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar dalams esuatu tajuk. Kebelakangan ini, para pengkaji telaha menjalankan banyak kajian tentang aplikasi teknologi dalam pendidikan yang mana kebenyakan dapatan menunjukkan kesan positif terhadap kefahaman pelajar dalam sesuatu tajuk yang disampaikan guru. Pengajaran matematik juga tidak dapat lari dari penggunaan teknologi untuk memudahkan pengajarannya. Salah satu teknologi yang diperkenalkan ialah perisian Geometer's Sketchpad (GSP) yang direka cipta untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran matematik terutamanya geometri.

Perisian matematik GSP dipelopori oleh Nicholas Jackiw pada tahun 1993 yang pada ketika itu telah memperkembangkan versi pertama The Geometer's Sketchpad. Perisian ini diberi nama sempena Ivan Sutherland's 1963 SKETCHPAD Program, iaitu satu usaha permulaan dalam interaktif komputer grafik (Sutherland, 1963). 


Pada tahun 1987, Nicholas Jackin begitu serius membuat program geometri ini sehingga terbinalah Geometer’s Sketchpad untuk Machintoch. Guru-guru serta pengguna amnya mencuba versi awal ini. Pada tahun 1990 Nicholas berjaya menghasilkan versi ‘beta’ menggunakan pembiayaan dari Yayasan Sains Kebangsaan untuk meneruskan penyelidikan. Versi kedua program ini dilancarkan pada April 1992. Manakala versi pertama Sketchpad untuk Window pula dilancarkan pada April 1995. Penggunaanya berluasa sehingga ke hari ini. Pada tahun 2011, GSP telah ditambahbaik fungsinya dalam versi ke-4 yang memuatkan Geometri Dinamik untuk pengajaran algebra dan kalkulus. 

Thursday 8 March 2012

Penggunaan teknologi pada masa kini


Tanggungjawab sistem pendidikan kini adalah untuk menyediakan generasi muda dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan supaya mereka dapat menghadapi masa depan dengan sempurna. Kementerian Pendidikan telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat hari ini. Salah satu unsur yang penting adalah memberikan peluang pendidikan yang sama kepada semua pelajar tanpa mengambil kira bangsa, kelas sosial, kelompok etnik dan budaya.
Dalam buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010 (KPM, 2001). Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan bahawa pembangunan pendidikan dari Zaman Dasar Pembangunan hingga ke Zaman Dasar Wawasan Negara telah berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Strategi meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai sasarannya. Walau bagaimanapun, apa yang dilihat pada masa ini masih terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan berkaitan dengan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya perkara berhubung dengan struktur pendidikan, akses kepada pendidikan, ekuiti, kualiti tenaga pengajar, ketidakseimbangan penyediaan infrastruktur, Pelaksanaan Program PPSMI, dan kurikulum yang relevan. Ini selaras dengan pendapat Sufean (2004) yang menyatakan terdapat banyak isu pendidikan yang boleh dikatagorikan iaitu pentadbiran, peringkat pendidikan, teknologi pendidikan, organisasi sekolah dan keguruan.
Isu yang ingin dibincangkan dalam penulisan ilmiah ini ialah lebih kepada penggunaan teknologi dalam pembelajaran dan pengajaran P&P. Penggunaan teknologi dalam P&P adalah serentak dengan perubahan-perubahan yang berlaku dalam dunia globalisasi yang lebih dikenali sebagai Dunia Tanpa Sempadan. Kehadiran teknologi dalam sistem pengurusan pendidikan khususnya telah membuka peluang baru untuk memajukan bidang pendidikan, seterusnya dapat menyediakan pelajar-pelajar untuk menghadapi cabaran-cabaran abad ke-21 atau dengan kata lain cabaran era teknologi.


Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT. Namun isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses p&p adalah berkaitan dengan pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah luar bandar dan bandar, perisian komputer untuk p&p yang sukar didapati di sekolah, latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah yang kurang berkesan, penyelenggaraan komputer yang kurang memeuaskan di sekolah dan kurang bilangan guru terlatih dalam penggunaan ICT di sekolah.

Thursday 1 March 2012

Assalamualaikum

Selamat datang ke blog kami.. Blog ni dibina bagi memenuhi tugasan 

SME 3023 
TRENDS AND ISSUES IN EDUCATION FOR MATHEMATICAL SCIENCES. 

Kami di beri tugasan untuk membuat ulasan bagi tajuk 

ISSUES ON USAGE OF TECHNOLOGY IN TEACHING AND LEARNING".. 

Semoga blog ini dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada anda semua..
Selamat membaca