Tuesday 10 April 2012

Guru yang Tidak Mahir atau Terlatih dalam ICT


ICT adalah singkatan daripada Information and Communication Technology (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) yang bermaksud teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data yang berkaitan dengan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah, penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.  Menurut Abdul Rahim Abd Rashid (2001), Dasar pendidikan Malaysia, sememangnya mementingkan inovasi, ia merangkumi inovasi dalam pembangunan pelbagai potensi manusia seperti pengetahuan, budaya saintifik, penguasaan teknologi baru, penggunaan ICT, pengurusan, pemikiran yang strategik dan sebagainya. Manakala Esah Sulaiman (2003), menyatakan bahawa dengan perkembangan teknologi terkini dan aplikasi Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) dalam pengajaran, golongan guru dikehendaki menguasai kemahiran ICT dalam pengajaran. Namun begitu pendidikan di negara kita tidak akan setanding dengan pendidikan di negara-negara yang maju yang lain sekiranya kita masih lagi mempunyai guru yang tidak mahir dalam bidang ICT di sekolah. Hal ini telah telah dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh Norida Suhadi (2001) ke atas 100 orang guru siswazah dan bukan siswazah mendapati  bahawa hanya 10% daripada guru-guru yang menghasilkan bahan pengajaran dalam bentuk multimedia. Kurang mahir merupakan masalah utama yang dihadapi oleh guru dalam menghasilkan  bahan pengajaran berbentuk multimedia.
            Hal ini terjadi kerana disebabkan oleh sikap negatif yang wujud dalam kalangan guru. Contohnya terdapat segelintir guru yang memang tidak mahir menggunakan ICT di sekolah dan mereka tidak mempunyai inisiatif tersendiri untuk menyelesaikan masalah tersebut. Bagi mereka mahir dalam ICT adalah perkara yang merugikan mereka kerana mereka perlu memperuntukkan masa tertentu untuk merancang dan menghasilkan aktiviti P&P dengan menggunakan ICT.
            Kekurangan prasarana dan bahan sokongan serta tiada kakitangan terlatih untuk membantu guru dalam penggunaan ICT merupakan punca lain yang menyebabkan guru tidak mahir atau terlatih dalam bidang ICT di sekolah. Contohnya, terdapat sesetengah sekolah yang  mempunyai makmal komputer tetapi komputer yang terdapat di dalamnya tidak dapat berfungsi dengan baik disebabkan oleh masalah teknikal. Kesan daripada permasalahan ini telah menyebabkan proses P&P yang berlangsung membosankan dan akan membawa kepada penurunan prestasi pencapaian pelajar. Hal ini secara tidak langsung  akan menyebabkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar meningkat serta profesional guru akan dipandang rendah oleh masyarakat. Keadaan ini terjadi sekiranya guru tersebut tidak mengubah diri mereka ke arah yang lebih positif dalam merancang dan menghasilkan aktiviti pengajaran yang menarik dan boleh memberi kefahaman yang jelas kepada pelajar mengenai sesuatu topik yang diajar dalam mata pelajaran Matematik.

Friday 6 April 2012

Pengintegrasian ICT dalam Pembelajaran dan Pengajaran


Kemajuan dalam bidang pendidikan semakin hari bertambah jelas dipengaruhi oleh penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Dalam konteks pendidikan, penggunaan alat teknologi bukan sahaja mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, malah berpotensi besar sebagai alat untuk mengayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran dan tidak terkecuali mata pelajaran Matematik. Teknologi seperti ini mestilah dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru agar dapat menghasilkan suatu output yang memenuhi tuntutan masyarakat. Melalui penggunaan alat teknologi ini, suasana pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan mempunyai potensi yang baik untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Multimedia adalah sebahagian dari cabang ICT yang berkeupayaan menggabungkan pelbagai media seperti teks, suara, imej, animasi dan video dalam sesuatu perisian membuatnya sebagai teknologi media pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan praktikal.
            Pengintergrasian ICT dalam P&P bermaksud penggunaan teknologi pembelajaran untuk memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran. Penggunaan teknologi mesti digabungkan bersama kaedah pengajaran. Menurut Lechner dan Boli (2000), perkembangan terkini menyaksikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menjadi alat pemangkin utama untuk menyebar dan menyimpan maklumat dan seterusnya membantu pelajar membina pengetahuan baru. Namun begitu pengintergrasian ICT dalam P&P tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya semua pihak tidak memberikan kerjasama dan tidak memainkan peranan masing-masing dalam mengintergrasikan ICT dalam P&P. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan kurangnya pengintergrasian ICT dalam P&P.    
Antara punca-punca yang menyebabkan kurangnya pengintergrasian ICT dalam P&P ialah guru tidak pandai dalam menggunakan teknologi terkini merupakan salah satu punca kurang pengintergrasian ICT dalam P&P. Hal ini dapat dilihat apabila terdapat segelintir guru di sekolah yang langsung tidak tahu untuk menggunakan teknologi terkini seperti ICT dalam pengajaran mereka. Hal ini berlaku mungkin disebabkan oleh sikap guru tersebut yang tidak ingin mencuba sesuatu yang baru seperti menurut Albaugh (1997), guru-guru biasanya ragu-ragu dengan idea-idea baru dan terkini kerana mereka merasa selesa dengan apa yang  selama ini mereka telah lakukan. Perkara ini tidak dapat dinafikan lagi apabila segelintir guru di sekolah lebih suka menggunakan kaedah tradisional iaitu kaedah ‘chalk and talk’ dalam proses pengajaran mereka berbanding menggunakan teknologi terkini. Ini terjadi apabila mereka sering beranggapan pencapaian pelajar masih juga meningkat walaunpun mereka hanya menggunakan kaedah pengajaran secara tradisional.
Kekangan masa dengan tugas yang banyak juga merupakan antara punca yang menyebabkan kurangnya pengintergrasian ICT dalam P&P. Seperti yang kita sedia maklum pada era kini tugas sebagai seorang guru merupakan tugas yang sangat mencabar. Hal ini kerana pada era ini tugas guru bukanlah hanya mengajar semata-mata. Justeru, ada segelintir guru yang menjadikan alasan kekangan masa sebagai punca yang menyebabkan kurangnya pengintergrasian ICT dalam P&P. Hal ini adalah kerana mereka sering beranggapan untuk merancang aktiviti pengajaran dengan menggunakan ICT mereka memerlukan masa yang agak lama dan terdapat juga segelintir guru yang menganggap merancang pengajaran dengan menggunakan teknologi seperti ICT adalah perkara yang membazirkan masa mereka. Memang tidak dinafikan untuk menghasilkan aktiviti pengajaran yang berasaskan teknologi seseorang guru perlulah memperuntukkan sedikit masa untuk menghasilkan aktiviti pengajaran yang menarik dan berkualiti. Namun begitu kekangan masa bukanlah seharusnya menjadi punca kepada permasalahan ini seperti kata pepatah “ hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.
Bilangan komputer yang tidak dapat menampung bilangan pelajar di sekolah dan tiada makmal khusus untuk subjek Matematik merupakan punca yang seterusnya. Seperti yang kita sedia maklum di setiap sekolah jumlah komputer yang diperuntukkan oleh kerajaan hanyalah sedikit. Hal ini adalah kerana terdapatnya kekangan-kekangan yang memang tidak dapat dielakkan seperti kekangan kewangan dan sebagainya. Hal ini menyebabkan tidak semua pelajar bepeluang untuk menggunakan komputer yang terdapat di sekolah. Ketiadaan makmal khusus untuk subjek Matematik juga telah menyebabkan guru tidak dapat mengintergrasikan ICT dalam P&P. Hal ini adalah kerana guru mempunyai kekangan dalam menempah makmal komputer untuk digunakan semasa proses P&P.
Kurangnya pengintergrasian ICT dalam P&P telah menyebabkan kurangnya motivasi dan minat pelajar untuk belajar serta menyebabkan pelajar kurang kefahaman dalam mata pelajaran Matematik. Kajian yang dijalankan (Abdul Rahim Mohd Saad, 1998) menyatakan terdapat beberapa stail pembelajaran di kalangan murid. Ada yang lebih selesa belajar secara konkrit berbanding dengan secara abstrak. Ada yang dikategorikan sebagai ‘field dependent’ berbanding dengan murid  ‘field independent’. Ini bermakna aktiviti-aktiviti pengajaran bagi murid yang suka secara abstrak atau tergolong dalam ‘field independent’ adalah mudah tetapi bagi murid yang belajar secara konkrit atau tergolong dalam ‘field dependent’ mereka akan mudah faham seperti beberapa konsep, prinsip, peraturan dan hukum sekiranya terdapat pelbagai bahan ilustrasi, rajah, latihan atau amalan. Ini bermakna murid-murid ini diberi peluang menggunakan kesemua panca indera semasa proses pembelajaran berlaku.
Penelitian De Porter mengungkapkan manusia dapat menyerap suatu materi sebanyak 70% dari apa yang dikerjakan, 50% dari apa yang didengar dan dilihat (audio visual), sedangkan dari yang dilihatnya hanya 30%, dari yang didengarnya hanya 20%, dan dari yang dibaca hanya 10%. Kajian di atas didukung oleh Ismail (2002) yang menyatakan bahawa daya ingatan seseorang dapat menangkap sesuatu sebanyak:
  1. 20% daripada apa yang mereka baca.
  2.  30% daripada apa yang mereka dengar.
  3.  40% daripada apa yang mereka lihat.
  4.  50% daripada apa yang mereka sebut.
  5.  60% daripada apa yang mereka buat.
  6.  90% daripada apa yang mereka baca, dengar, lihat, sebut dan buat serentak
Penggunaan internet dapat menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru dan juga murid untuk meneroka, mencari bahan pengajaran atau rujukan serta penyelidikan. Melalui portal-portal pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan  atau luar, guru dan murid dapat memanafaatkan sebaik mungkin. contohnya dalam eksperimen sains, guru hanya menunjukkan satu-satu eksperimen sekali sahaja tetapi melalui portal pendidikan mereka boleh berulang kali mencubanya. Tambahan pula setiap bahan di dalam portal sentiasa dikemaskini dan murid mendapat banyak bahan baru berbanding dengan buku teks yang diperbaharui lima tahun sekali.(Zalina Yahaya 2001).
Sebagai rumusannya, kepentingan ICT dalam proses P&P tidak dapat dinafikan lagi keperluannya. Pengintegrasian ICT dalam P&P merupakan sarana yang tepat bagi guru dlm menyampaikan pesan-pesan pembelajarn dalam bilik darajah. Pemilihan kaedah serta alat yang tepat juga perlu diambil kira oleh seorang guru untuk memastikan keselarian antara mata pelajaran, waktu, situasi dan kondisi dalam memanfaatkan ICT dalam suatu P&P pada masa berlansungnya Pembelajaran.

Wednesday 4 April 2012

PENYELENGGARAAN KOMPUTER YANG KURANG MEMUASKAN

Makmal komputer di sekolah sememangnya menghadapi masalah dari segi penyelenggaraan. Banyak makmal di sekolah tidak terurus kerana tidak ada kepakaran dari segi penyenggaraan. Walaupun kerajaan telah melantik seramai 500 orang juruteknik komputer di setiap daerah, tetapi masalah ini masih tidak dapat diselesaikan. Juruteknik yang dilantik hanyalah bertugas di pejabat pendidikan daerah masing-masing dan tidak keluar untuk membantu dalam penyenggaraan makmal komputer di sekolah-sekolah. Kerja-kerja penyenggaraan ini mengambil banyak masa guru sekiranya terdapat kerosakan ke atas sesebuah komputer. Oleh kerana banyak masa telah dihabiskan untuk tujuan penyelenggaraan komputer, seseorang guru teknologi maklumat kekurangan masa pula untuk membuat persediaan bagi tujuan P&P. Kekurangan komputer yang boleh digunakan juga menyebabkan proses P&P turut terganggu.
Memandangkan makmal komputer tidak mempunyai pembantu makmal sebagaimana makmal sains yang mempunyai pembantu makmalnya sendiri, maka kerja-kerja penyelenggaraan buat masa sekarang terletak di bahu guru teknologi maklumat itu sendiri. Ini bermakna beban tugas guru teknologi maklumat semakin bertambah. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu mengatakan bahawa sebahagian besar daripada 75 buah makmal komputer yang telah diserahkan kepada pihak kontraktor mengalami kerosakan  terutama di bahagian bumbung bangunan, dan beliau juga mengesahkan bahawa sebanyak 574 daripada 600 buah makmal komputer di zon timur tidak selamat dan merbahaya. (Utusan Malaysia 19 Julai, 2003).
KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 peratus komputer di makmal sekolah seluruh negara adalah komputer bermasalah disebabkan perkakasan yg digunakan sudah melebihi lima tahun, menyebabkannya sering rosak sekaligus menggagalkan usaha2 membudayakan ilmu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah. Presiden Kesatuan Guru-guru Melalyu Malaysia Barat (KG-MMB), Mohamed Sabri Mohd Arshad, berkata sistem penyelenggaraan tidak cekap, termasuk perlu menunggu antara 3 - 5 bulan sebelum kerosakan dibaiki."Jika komputer rosak, pihak sekolah perlu melaporkan kepada PPD sebelum masalah itu dibawa untuk perhatian JPN. Bukan semua aduan diberi perhatian segera kerana sikap sambil lewa sesetengah pihak menyebabkan juruteknik komputer datang membaiki komputer rosak berbulan-bulan selepas aduan dibuat," katanya ketika mengulas rungutan guru mengenai kemudahan komputer sering rosak menyebabkan proses P & P sering teganggu. Mohamed berkata, sikap sesetengah pihak sering menyalahkan guru kerana gagal membudayakan ICT dalam tugas tidak wajar. Katanya, sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran terus menyalurkan peruntukan bagi membaiki alat bantuan pengajaran dan pembelajaran kepada sekolah, bukannya menerusi JPN seperti diamalkan sekarang. Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika dimaklumkan mengenai perkara itu berkata masalah ini akan dapat diatasi dalam tempoh terdekat. Katanya, Bahagian Teknologi Pendidikan menerusi Pusat Kegiatan Guru Daerah sudah diarahkan untuk menyelesaikan masalah itu, terutamanya di pedalaman.
Pelbagai kelemahan dapat dikesan ekoran penyelenggaraan komputer yang kurang memuaskan di sekolah. Kebanyakan sekolah menghadapi masalah komputer yang tidak dapat berfungsi dengan baik. Oleh disebabkan komputer yang bermasalah, banyak penyelenggaraan perlu dilakukan dan ini menjadikan proses penyelenggaraan lambat dilakukan. Selain itu, pelbagai karenah dari pihak dalam bagi mendapatkan bantuan pembaikan. Pihak dalam yang dimaksudkan adalah dalam kalangan guru-guru dan pentadbir sekolah. Mereka akan merungut apabila kemudahan komputer yang ada di sekolah sentiasa rosak dan ini memberikan tekanan kepada kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk membuat penyelenggaraan di sekolah.
Langkah mengatasi permasalah ini ialah  pembuatan perbuatan komputer tempatan Pengeluaran peralatan teknologi dari tempatan juga adalah digalakkan. Dengan penghasilan produk ini secara tempatan, sudah tentu kos pembuatan dapat dikurangkan dan seterusnya kos peralatan juga dapat diturunkan sebanyak mungkin.  Langkah yang kedua ialah pemilihan yang bijak. Perolehan peralatan juga perlu dibuat dengan bijak. Beli peralatan yang perlu sahaja dan elakkan dari pembaziran wang dengan membuat perolehan yang tidak penting. Cara ini dapat mengurangkan kos perolehan peralatan teknologi maklumat. Selain itu, bagi mengatasi masalah kurang kelengkapan dan peralatan komputer di sekolah-sekolah dan institusi pengajian, pihak kerajaan perlu campurtangan dengan memberikan peruntukan yang secukupnya untuk membolehkan organisasi terbabit melengkapkan institusi pengajian dengan kemudahan dan kelengkapan yang mencukupi untuk semua pelajar.

Sunday 1 April 2012

TEORI KONSTRUKTIVISME

        Teori Konstruktivisme membawa pelajar membina realiti sendiri atau sekurang-kurangnya menterjemahkan apa yang dialaminya berdasarkan kepada persepsi pengalaman. Jadi, pengetahuan individu adalah berfungi untuk pengalaman lepas, struktur mental dan kepercayaan  ini semua akan digunakan sebagai penerangan kepada benda dan peristiwa yang ditempuhi (Jonasson 1991). Merill (1991) berpendapat bahawa pengetahuan dibina dari pengalaman. Pembelajaran ialah pandangan individu kepada dunia sekeliling. Konsep terhadap sesuatu adalah dibina hasil daripada perkongsian beberapa perspektif dan daripada pembelajaran cara koleboratif. Apa yang ingin disampaikan ialah realiti yang dibina oleh pelajar adalah realiti yang dibina sendiri. Pelajar sebenarnya telah mempunyai satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka. Sesungguhnya kaedah pengajaran gaya konsruktivisme dalam pembelajaran matematik banyak mengubah cara pengajar. Daripada menetapkan apa yang perlu dicapai (cara pengajaran tradisional) kepada idea yang lebih terbuka, pelajar terangsang untuk berfikir dan bebas memberi pendapat. Masing-masing ada pengalaman dan berfikir sendiri. Unsur multimedia yang dimasukan bertujuan supaya deria pengguna dirangsangkan sedaya mungkin. Ini sebagai suatu strategi kognitif dan seterusnya teori konstruktivisme dapat dipraktikkan.
        Simulasi didefinisikan sebagai suatu situasi yang diwujudkan supaya menyerupai situasi sebenarnya tetapi dalam bentuk yang dimudahkan, diringkas atau dikecilkan. Kaedah ini dapat membantu dalam P&P matematik. Kaedah ini selalunya dibina dengan teknologi multimedia untuk  mentafsirkan masalah matematik selain dengan penggunaan model. Ini bertujuan untuk mereka mengenali secara tersendiri dengan masalah yang terjadi. Pelajar akan mendapat pengalaman dari cara ini yang besesuaian dengan  Teori Konstruktivisme seterusnya dapat menyelesaikan pelbagai masalah matematik. Kaedah Projek atau Tugasan matematik pula bertujuan untuk meningkatkan penglibatan pelajar dengan idea-idea konseptual dan memperkembangkan kemahiran  matematik. Antara objektif utamanya adalah untuk melahirkan pelbagai kaedah penyelesaian selepas satu konsep pembelajaran diberikan. Walaupun ia satu tugas yang agak berat, tetapi kaedah ini dijamin dapat memberikan kepuasan kepada pelajar terutama apabila dapatan dihasilkan dengan jayanya. Kaedah Kerja Luar dalam pembelajaran matematik pula  membawa pelajar ke situasi yang berbeza dari bilik darjah,  ia dapat merialisasikan masalah situasi sebenar kepada pelajar. Pelajar akan  terhibur, tidak merasa bosan dan didedahkan dengan pengalaman yang sebenar.