Saturday 24 March 2012

PERMASALAHAN PEMBEKALAN KOMPUTER


Walaupun dikatakan ketinggalan berbanding sektor lain, program pengkomputeran di sekolah semakin meningkat dan diberi perhatian. Menurut Schofield (1995), bilangan komputer di kebanyakan sekolah semakin meningkat. Hari demi hari penggunaan komputer bukan sahaja semakin meluas tetapi juga semakin diperlukan di lebih banyak sekolah. Program pengkomputeran mula diperkenalkan ke sekolah-sekolah di Malaysia secara rasminya pada tahun 1986 iaitu melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. (5) Tahun 1986. Bermula dari tarikh tersebut, program pengkomputeran di sekolah-sekolah mula dilaksanakan dan berkembang secara  beransur-ansur mengikut keperluan dan kemampuan yang dimiliki. Bermula dengan kelab-kelab komputer yang kebanyakannya ditubuh atas inisiatif sekolah-sekolah sendiri (Othman Khalid, 1992) telah berkembang kepada apa yang ada sekarang.
Namun begitu, menurut KPM (2001), penggunaan komputer telah mula diperkenalkan lebih awal iaitu semenjak pertengahan tahun 1960-an lagi. Ketika mula diperkenalkan, penggunaannya didapati terhad di kementerian dan untuk tujuan pengurusan sahaja. Bermula dengan pengurusan dan pengendalian peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, kemudian penggunaannya telah diperluas kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan diikuti dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Pada masa yang sama komputer juga digunakan untuk mengumpul, memproses, dan menganalisis data sekolah rendah dan menengah bagi tujuan perancangan pendidikan.
Pada awal tahun 1990-an, kementerian mula melaksanakan beberapa projek pendidikan yang berasaskan ICT dan pembekalan komputer, khususnya sebagai penyediaan infrastruktur ICT. Pada 5hb. Julai, 1992, sebanyak 60 buah sekolah menengah luar bandar dibekalkan dengan 21 set komputer bagi setiap sekolah. Bermula dari tarikh tersebut, usaha-usaha menerapkan penggunaan komputer ke dalam sistem pendidikan juga menjadi semakin menyerlah dan menyeluruh. Selaras dengan perkembangan berkaitan, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Bahagian Pendidikan Guru mula melaksanakan program latihan praperkhidmatan dalam ICT kepada guru-guru pelatih di maktab perguruan bagi Kursus Diploma Perguruan Malaysia pada awal tahun 1990-an. Pelaksanaan program tersebut kemudiannya disusuli dengan Kursus Pengajian Teknologi Maklumat kepada guru-guru pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah. Selain kursus-kursus praperkhidmatan, tidak ketinggalan dianjurkan kursus-kursus dalam perkhidmatan jangka pendek dan kursus khas.
Selain Bahagian Pendidikan Guru, program-program latihan kepada guru sekolah rendah dan menengah turut dianjurkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan melalui Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Pusat Kegiatan Guru. Institut Aminuddin Baki (IAB) juga tidak ketinggalan menyediakan latihan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran warga pendidikan dalam ICT. Kumpulan sasaran IAB ialah para pentadbir dan kakitangan sokongan di peringkat sekolah. Pada tahun 1994, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan pula Projek Rintis Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik. Projek tersebut dilaksanakan di 15 buah sekolah rendah luar bandar di Selangor. Setiap sekolah dibekalkan dengan 21 set komputer sementara perisian kursus pendidikan disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Dalam perkembangan berkaitan, pada tahun 1996 penyediaan infrastruktur ICT telah diperluaskan ke 209 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah. Setiap buah sekolah menengah tersebut dibekalkan dengan 21 set komputer, termasuk sebuah komputer pelayan (server) untuk Persekitaran Rangkaian Setempat (Local Area Network) tanpa kemudahan internet. Walau bagaimanapun komputer yang dibekalkan di sekolah rendah tidak dirangkaikan. Bagi tempoh tahun 1999 hingga 2000, sebanyak 332 buah sekolah lagi (110 buah sekolah menengah dan 222 buah sekolah rendah) di seluruh negara telah menerima komputer iaitu sebanyak 10 set komputer bagi setiap sekolah.
Komputer yang dibekalkan ke sekolah-sekolah pada peringkat awal pelaksanaan program Komputer Dalam Pendidikan (KDP) ialah di bawah peruntukan projek-projek khas. Sementara komputer yang dibekalkan antara tahun 1999 hingga 2000 ialah komputer multimedia jenis Pentium III yang sama ada disewa daripada MIMOS atau melalui tender terbuka untuk Sabah dan Sarawak. Untuk menempatkan komputer yang dibekalkan, bilik darjah diubah suai menjadi makmal komputer.
Menjelang tahun 2000, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pula Projek Penyediaan Infrastruktur Fizikal dan Pengkomputeran Sekolah Menengah dan Rendah di 2,148 buah sekolah rendah dan menengah. Projek tersebut dilaksanakan secara berperingkat dengan mendahulukan sekolah-sekolah yang mempunyai enrolmen melebihi 150 orang dan mempunyai bekalan eletrik. Makmal komputer yang dibina dilengkapi dengan komputer terkini berserta kemudahan persekitaran rangkaian setempat dan internet. Selain komputer, projek tersebut turut membekalkan projektor Liquid Crystal Display (LCD). Jumlah peruntukan makmal, komputer, komputer pelayan, dan projektor LCD kepada sekolah-sekolah diberikan berdasarkan enrolmen pelajar.
Kerajaan Malaysia amat serius untuk menerapkan penggunaan komputer dalam sistem pendidikan. Jutaan ringgit telah dilabur untuk membina makmal serta rangkaian komputer. Tujuan pelaburan tersebut ialah untuk mempercepatkan usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi memenuhi keperluan pasaran semasa. Di sidang parlimen, Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan kepada dewan bahawa sehingga bulan September 2003 sahaja sudah terdapat 4,297 projek makmal komputer sekolah (3,700 makmal baru dan 597 makmal ubah suai) sudah diluluskan pembinaannya.
Dalam mengharungi kemajuan ICT, pihak Kementerian Pendidikan sendiri banyak menghadapi masalah atau cabarannya.  Namun begitu, cabaran-cabaran itu dianggap sebagai satu perintis kejayaan dan harus diselesaikan serta ditangani dengan bijak.  Strategi pelaksanaannya juga harus dirancang bagi melicinkan lagi usaha meningkatkan penggunaan ICT di sekolah. Di antara cabaran-cabaran dan strategi pelaksanaannya adalah seperti berikut,
Sekolah yang masih tidak mempunyai bekalan elektrik menjejaskan pembekalan kemudahan ICT dalam pengurusan dan pentadbiran serta P & P.  Kebanyakan sekolah rendah hanya dibekalkan dengan elektrik satu fasa.  Untuk kegunaan makmal komputer, bekalan elektrik perlu dinaik taraf kepada tiga fasa.  Adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk menyediakan bekalan elektrik tiga fasa kepada sekolah bagi membolehkan pelaksanaan ICT sepenuhnya. 
Makmal komputer yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan sebagai makmal komputer mata pelajaran elektif.  Sebuah makmal komputer hanya dapat menampung keperluan untuk lima kelas sahaja kerana setiap mata pelajaran berasaskan ICT memerlukan empat hingga lima waktu mengajar seminggu.  Adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk menambah bilangan makmal komputer di semua sekolah menengah bagi menentukan mata pelajaran elektif ICT dapat ditawarkan. 
Pembekalan komputer atau notebook kepada guru dan pensyarah untuk kegunaan P&P masih tidak mencukupi.  Hanya sebilangan kecil guru dan pensyarah yang memperoleh kemudahan tersebut melalui projek atau sumbangan tertentu.  Untuk meningkatkan mutu P&P, KPM akan membekalkan komputer kepada guru dengan nisbah 1 : 10 bagi tahun 2002 hingga 2003.  Nisbah ini akan meningkat kepada 1 : 5 pada tahun 2004 hingga 2005, manakala pada tahun 2006 hingga 2010, nisbah komputer berbanding guru adalah 1 : 1.     
Walaupun perancangan telah dibuat, perkakasan komputer yang dibekalkan kepada Jabatan/Bahagian masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan personel KPM disebabkan kekangan peruntukan kewangan.  Di samping itu, kebanyakan komputer yang dibekalkan adalah model berkapasiti rendah dan tidak dirangkaikan kepada kemudahan internet sedangkan keperluan untuk kemudahan ini semakin meningkat atas desakan tugas, keperluan komunikasi, dan memenuhi cabaran merealisasikan e-kerajaan.  Sebagai contoh, pada masa kini, pembekalan komputer dengan nisbah 1 : 1 bagi pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 3 dan ke atas) masih belum mencapai sasarannya.  Adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk menyediakan perkakasan komputer yang terkini dan mencukupi kepada semua peringkat pengurusan KPM ke arah mengukuhkan infrastruktur ICT dalam pendidikan.

No comments:

Post a Comment