Wednesday 16 May 2012

Kelebihan pembelajaran efektif


Salah satu daripada Matlamat Pembangunan Pendidikan 2001-2010 adalah untuk membudayakan sains dan teknologi. Manakala, cabaran keenam Wawasan 2020 adalah bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan yang tinggi dan memandang ke hadapan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan. Jika dikaji keputusan peperiksaan awam pada setiap tahun seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM kita akan dapati bahawa masih terdapat sebilangan pelajar yang belum mencapai tahap yang minimum bagi setiap mata pelajaran terutamanya dalam mata pelajaran Matematik. Justeru, tugas guru adalah untuk memastikan pelajar mencapai tahap minimum bagi setiap mata pelajaran. Terdapat pelbagai strategi yang boleh digunakan untuk mengatasai masalah tersebut. Salah satu daripada strategi yang boleh digunakan ialah dengan pengajaran yang efektif. Melalui pendekatan ini guru sudah semestinya akan dapat meningkatkan prestasi pelajar, khasnya bagi pelajar yang berpencapaian rendah.
Menurut Tuner, R. (2001) Pengajaran berkesan ialah pengajaran pakar dan cemerlang. Terdapat penggunaan istilah lain seperti mengajar dengan baik (Brown et al., 1993), mengajar dengan kreatif (Woods et al., (1996) dan Pengajaran Berkualiti (Stones, 1992). Seperti yang kita sedia maklum untuk menghasilkan pembelajaran yang efektif mestilah bermula dengan pengajaran yang efektif terlebih dahulu. Justeru, guru seharusnya memainkan peranan mereka dengan sepenuhnya dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Tujuan pengajaran yang jelas dan spesifik membantu urutan sajian topik dan tugas secara logic (J.J Hasibuan & Moedjiono, 1985).
Contohnya pengajaran yang efektif telah kami perkenalkan dalam topik nombor bulat. Bagi topik nombor bulat kami memperkenalkan satu aktiviti permainan iaitu dengan cara membahagikan pelajar kepada kepada beberapa kumpulan di mana setiap kumpulan terdiri daripada empat orang ahli di dalamnya. Setiap kumpulan disediakan satu sampul yang mengandungi lima kad nombor yang berlainan. Aktiviti permainan ini akan meransang pemikiran yang kreatif dalam kalangan pelajar. Hal ini akan dapat dilihat apabila pelajar akan menyusun semua kad nombor tersebut untuk mendapatkan nilai yang paling besar, nilai paling kecil, perbezaan terbesar dan perbezaan terkecil dengan hanya menggunakan kad nombor yang diberikan kepada mereka. Keghairahan pelajar juga akan dapat dilihat apabila guru akan memilih nombor  0 dan meminta pelajar membentuk satu nilai yang paling besar yang mengandungi nombor tersebut di tengah-tengah. Guru juga akan memberikan peneguhan positif kepada kumpulan yang dapat membentuk nombor tersebut dengan paling pantas. Hal ini akan lebih menarik lagi minat pelajar untuk bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan permasalahan yang diutarakan oleh guru mereka kepada mereka untuk diselesaikan.
Terdapat pelbagai kelebihan yang akan kita peroleh melalui pengajaran yang efektif ini. Kelebihan ini bukan sahaja akan menguntungkan guru dan pelajar bahkan ia juga akan memberi kesan yang positif kepada prestasi sekolah. Contonhya, seperti yang kita dapat lihat melalui aktiviti yang telah dinyatakan, pemikiran pelajar akan diransang untuk menjadi lebih kreatif dan kritis dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Nilai kerjasama juga akan dapat diterap dalam diri setiap pelajar sewaktu mereka melakukan aktiviti ini bersama-sama kawan-kawan yang lain. Interaksi dua hala juga akan berlaku antara guru dan pelajar. Hal ini dapat dilihat semasa guru melakukan tinjauan ketika pelajar menjalankan aktiviti yang disediakan kepada mereka. Apabila hal sedemikian berlaku sudah pastilah pelajar dan guru akan dapat menghasilkan perasaan hormat-menghormati antara satu sama lain. Hal ini juga akan memberi kesan yang positif kepada masalah disiplin sekolah.
Justeru, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Guru seharusnya menjadi seorang yang sangat kreatif dan inovatif dalam merancang strategi pengajaran yang lebih menarik dan mampu memberi kefahaman yang jelas kepada semua pelajar mengenai sesuatu konsep Matematik. Sesungguhnya kejayaan seseorang pelajar bergantung kepada sejauh manakah kesungguhan seorang guru dalam mendidik mereka.

No comments:

Post a Comment