Sunday 25 March 2012

PERISIAN KURSUS (BHGN.1)

Penggunaan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran matematik amat penting. Ini kerana National Council of Teachers of Mathematics (NCTM) telah mengenalpasti mengenai Prinsip Teknologi sebagai salah satu daripada enam prinsip kualiti pendidikan matematik. Teknologi merupakan alat yang penting amat diperlukan untuk proses pengajaran dan pembelajaran subjek matematik yang berkesan. Ia sekali gus akan membolehkan matapelajaran matematik dapat diajar dan dapat mengukuhkan lagi proses pembelajaran dalam kalangan pelajar.
Terdapat pelbagai alatan media pengajaran yang boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kalkulator, perisisan komputer dan alatan yang berteknologi yang lain juga dapat membantu dalam proses pengumpulan, merekod, menyusun dan menganalisis data. Teknologi juga boleh mengukuhkan dan menguatkan kuasa pengiraan dan lebih meyakinkan serta tepat dan menghasilkan lukisan, graf dan pengiraan yang dinamik. Dengan adanya peralatan sebegini, pelajar boleh melanjutkan dan meluaskan kualiti dalam mencari punca kepada sesuatu masalah matematik dengan lebih nyata.
Hasil kajian Sham Ibrahim (2003) ke atas 119 orang guru sekolah menengah daerah Jelebu mendapati bahawa perisian multimedia mampu memenuhi masa pengajaran dengan efektif, membantu guru menjalankan aktiviti dalam kelas, dapat mencapai objektif yang disasarkan, mempertingkatkan minat pelajar dan boleh dijadikan bahan rujukan yang berguna kepada guru.
Dalam pendidikan matematik, komputer melibatkan beberapa penggunaan aplikasi seperti hamparan elektronik, multimedia, internet dan Geometer's Sketchpad (GSP). Geometer's Sketchpad, contohnya, digunakan untuk mengajar topik geometri. Melaluinya, pelajar boleh meneroka pembelajaran matematik dengan lebih berkesan. Pelajar berminat untuk membuat penerokaan alam lain yang baru ditemuinya. Mereka akanmemperolehi suasana pembelajaran yang baru danmaklumat serta informasi yang terkini. Di samping itu, juga dapat menggalakkan mereka belajar secara berkumpulan dan menyemai semangat belajar yang agresif sertalebih berfikiran kritikal.
Dalam konteks program matematik yang lebih jelas, teknologi meningkat dan berkembang dalam kedua-dua skop iaitu kandungan matematik dan juga susunan situasi masalah yang berkait dengan pencapaian pelajar. Alatan pengiraan yang canggih dan berkuasa, pembinaan atau pembuatan dan pembentangan secara visual dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mencapai kandungan matematik dan konsep matematik yang mungkin menjadi lebih kompleks kepada pelajar untuk diselidik. Dengan menggunakan alatan teknologi, boleh membantu dalam menyelesaikan sesuatu masalah dengan lebih menarik dan memudahkan pencapaian pelajar melalui pelbagai hasil pembelajaran di peringkat tinggi seperti refleksi, pertimbangan, kedudukan masalah, penyelesaian masalah dan membuat keputusan.
Dalam melaksanakan tugas pengajaran, guru harus berusaha untuk meningkatkan kebekesanannya. Pengajaran yang berkesan menghasilkan pembelajaran yang diharapkan. Pembelajaran yang baik berlaku apabila pelajar melibatkan diri. Dengan demikian, biasanya pelajar akan lebih mengingati sesuatu hasil daripada perbuatan atau pengalamannya sendiri. Di sinilah pentingnya peranan teknologi dalam pendidikan matematik hari ini. Penyertaan aktif oleh para pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran membantu mereka belajar secara berkesan.
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran matematik menjadi lebih bermakna melalui penggunaan komputer atau peralatan berteknologi yang lain. Peralatan canggih ini bukan sahaja memudahkan penyampaian konsep matematik tetapi dapat membuktikan dengan jelas konjektur-konjektur yang timbul dalam tajuk-tajuk yang diajar. Teknologi amat diperlukan dalam proses mengimbangi program matematik. Guru perlu bersedia untuk dijadikan sebagai pembuat keputusan yang berilmu pengetahuan dalam menentukan bila dan bagaimana pelajar mereka boleh menggunakan peralatan teknologi tersebut dengan lebih berkesan.
Progam persediaan pembangunan profesion khas untuk bakal guru dan juga guru dalam perkhidmatan perlu untuk mempengaruhi perangai dan watak secara perlahan-lahan untuk mengkaji dengan sentiasa mengembangkan peralatan teknologi dan meluaskan kesan teknologi kepada pendidikan matematik. Untuk membolehkan pembelajaran berlaku dengan berkesan, guru haruslah menyediakan atau memilih teknologi yang bersesuaian dengan keupayaan pelajar. Di samping itu, teknologi juga haruslah selaras dengan aktiviti pembelajaran serta dapat mencapai objektif pengajaran.
Dalam pada itu berdasarkan kepada beberapa kajian yang telah dijalankan, didapati pelajar yang menggunakan komputer pembelajaran matematik didapati mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks. Perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah. Kumpulan pelajar yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat menggunakannya dalam bidang-bidang lain.
Benarkah pelajar-pelajar kita tidak berminat belajar matematik? Adakah guru-guru matematik pula tidak pandai menarik minat pelajar-pelajarnya mempelajari matematik? Atau salahkah dasar pendidikan Malaysia mengubal sukatan pendidikan matematik di negara ini? Persoalan demi persoalan diajukan. Akhirnya terdengarkan seperti nyanyian "Bangau,Oh Bangau"; yang terlibat menuding jari menuduh kesalahan kepada yang lain. Sebagai guru matematik,  persoalan yang sentiasa bermain di fikiran ialah bagaimana menggunakan pelbagai kaedah agar pelajar-pelajarnya cepat memahami apa yang diajar, juga boleh mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dalam apa juga situasi permasalahan matematik. Apa yang diharapkan juga ialah supaya pelajar  terus mengingati apa yang dipelajari itu seberapa kekal yang boleh.
Kelembapan dan kebuntuan perkembangan pengajaran berbantukan komputer dalam pendidikan matematik khususnya, pada pertengahan tahun-tahun 70an dan 80an adalah disebabkan oleh kos perkakasan komputer yang terlalu tinggi, bilangan perisian yang terhad, kemahiran dan pengetahuan tentang komputer rendah dan tidak kurang juga kebimbangan serta kurang keyakinan di kalangan pendidik. Walau bagaimana pun, keadaan telah berubah di mana harga komputer telah banyak menurun dan mampu dibeli oleh ramai orang serta berbagai kursus telah dan sedang dianjurkan oleh pihak kerajaan untuk memberi kesedaran, keyakinan, pengetahuan serta kemahiran dalam penggunaan komputer.
Jika dilihat pada penggunaan perisian kursus, lebih ramai guru-guru sains yang menggunakannya berbanding dengan guru-guru Matematik. Ini mungkin kerana peralatan-peralatan ICT yang diperlukan untuk menggunakan perisian kursus telah dilengkapkan di dalam makmal sains. Guru-guru sains tidak perlu membawa peralatan yang banyak ke dalam kelas dan tidak perlu menempah bilik tayangan atau bilik media untuk menggunakan perisian kursus ini. Di samping itu, setiap makmal sains mempunyai pembantu makmal yang boleh membantu guru-guru memasang dan menutup kembali peralatan-peralatan yang telah digunakan. Berbanding guru-guru Matematik terpaksa menggunakan bilik tayangan atau bilik media atau terpaksa membawa peralatan seperti ”laptop, lcd, extension wire” di samping buku rekod mengajar ke dalam kelas.
Cabaran yang ditanggung oleh guru matematik bukannya sedikit. Selain memenuhi tuntutan kerja perkeranian yang menimbun, guru matematik juga terpaksa menyediakan bahan pengajaran untuk P&P yang mendatang. Pemilihan alat bantu mengajar perlu sesuai, penyediaan lembaran kerja yang pelbagai buat pelajar yang pelbagai tahap perlu disediakan. Di bilik darjah pula guru perlu pandai memilih kaedah yang dapat menarik perhatian pelajarnya dengan apa yang diajar. Pelajar tidak harus terasa tertekan, merasa bosan malah merasa benci terhadap matematik. Guru juga yang harus memain peranan agar pelajar melempar jauh perasaan negatif dan fobia mereka terhadap matematik. Soalnya, pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang dan tahap pencapaian yang berbeza, malah mempunyai corak disiplin yang mengharukan juga harus ditangani oleh guru matematik.
        Sekolah Bestari memungkinkan guru-guru matematik yang selama ini menjadi sumber maklumat bertukar tugas sebagai filisitator. Guru sebagai pemandu arah kepada pelajar, mereka sendiri yang  mencari maklumat sendiri tanpa sempadan. Di sekolah bestari,  guru digalakkan menggunakan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran untuk mengoptimumkan pembelajaran.  Strategi yang dicadangkan berasaskan pada satu kontinum dari pemusatan guru ke pemusatan pelajar.  Strategi yang dipilih untuk pengajaran dan pembelajaran efektif mesti memenuhi keperluan pelajar dan ia sesuai dengan iklim sekolah.
        Kaedah Pembelajaran Koperatif pula adalah suatu strategi pengajaran yang melibatkan pelajar-pelajar saling bantu membantu diantara satu sama lain dalam kumpulan kecil dengan mempunyai matlamat bersama. Kajian terkini mendapati penggunaan Pembelajaran Koperatif boleh meningkatkan dan mewujudkan pencapaian pelajar, pemikiran kritikal dan kreatif, sikap positif terhadap matapelajaran dan sekolah, kemahiran sosial dan interaksi kumpulan, keyakinan diri dan saling menghormati. Tugas guru sebagai tenaga pengajar beralih kepada penggalak agar mereka terangsang untuk  menyiasat, meneroka dan mencari sendiri maklumat yang dikehendaki terutama dalam matematik.
        Menurut Johnson, Johnson, and Smith (1991) pembelajaran koperatif perlu mengandungi  'Positive Interdependence' iaitu setiap ahli bergantung antara satu sama lain untuk mencapai sesuatu matlamat. Jika mereka gagal memainkan peranan masing-masing, kumpulan itu akan menanggung akibatnya. 'Individual Accountability',  iaitu setiap ahli dalam kumpulan adalah bertanggung jawab kepada maklumatnya dan menguasai sepenuhnya bahan-bahan pelajaran berkaitan. 'Face to face promotive interaction',  iaitu walaupun setengah kerja dalam kumpulan boleh dibahagi-bahagikan tetapi ada kalanya ia perlukan maklum balas, cabar-mencabar dan galakan secara interaktif dari rakan-rakan lain dalam kumpulan. 'Appropriate use of collaborative skill' iaitu pelajar digalakkan membentuk dan dilatih saling mempercayai, kemahiran kepimpinan, membuat keputusan, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran pengurusan konflik. 'Group processing' adalah  setiap pasukan membentuk matlamat kumpulan, dari masa ke semasa membuat penilaian tentang pencapaian sebagai satu kumpulan dan mengenalpasti masalah untuk tujuan kebaikan masa datang.
        Terdapat beberapa model yang telah direka oleh para pengkaji dalam merealisasikan kaedah Pembelajaran Koperatif bergantung kepada kesesuaian pelajar iaitu diantaranya ialah The Structural Approach (Spencer Kagan), The Learning Together Approach (Johnson & Johnson), STAD, TGT, Jigsaw (Slavin) dan Group Investigation (Sharan & Shacar).
        Proses pembelajaran yang berkesan sebenarnya dipengaruhi oleh banyak faktor. Antaranya termasuklah faktor motivasi, kepantasan bertindak, suasana sekeliling dan mod serta cara penyampaian bahan pembelajaran tersebut. Boleh dikatakan tiada bukti kukuh yang memperkatakan tentang perbezaan cara pembelajaran antara pelajar yang pintar, sederhana dan yang lembab, kerana proses yang berlaku dalam otak manusia adalah sama. Yang membezakan ketiga-tiga kategori pelajar itu hanyalah dari segi motivasi dan kepantasan bertindak. Proses pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer banyak menolong dalam hal ini. Perisian kursus yang dibina dengan teliti boleh menolong meransang minda pelajar untuk terus mempamerkan kebolehan-kebolehan golongan ini yang kadang-kadang tidak terjangkau oleh minda manusia dewasa.
        Gabungan antara teknologi komputer dan kepakaran tenaga pengajar akan menghasilkan satu Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) yang bermutu. Salah satu ciri-ciri yang baik untuk sebuah PPBK yang bermutu ialah dengan memasukkan unsur teori pembelajaran dalam perisian. Sistem maklumat melalui komputer dapat menarik perhatian pelajar terutama matematik yang merupakan pelajaran yang digeruni. Satu menu yang menarik disediakan secara persembahan bermultimedia. Pelajar diberitahu objektif pelajaran dengan paparan tentang penyataan objektif yang perlu dicapai oleh pelajar bila menggunakan perisian. Penggunaan komputer dapat merangsang pelajar untuk mengingat semula (recall) isi kandungan yang telah dipelajari tambahan pula pembelajaran dapat dipersembahkan secara menarik dengan beberapa faktor seperti warna, font, grafik dan rekaletak yang boleh menarik perhatian dan meransang pelajar untuk terus menggunakan perisian.
        Selain daripada itu perisian PPBK juga menyediakan bimbingan belajar iaitu  satu menu khusus untuk membantu pelajar  yang bermasalah terutama bahagian asas disamping dapat mengesan kemajuan, menilai dan mentaksir kemajuan pelajar dengan mengemukakan soalan atau memberi tugasan supaya pelajar dapat mengaplikasikan ilmu  yang dipelajari . Perisian seperti Geometer's Sketchpad, Autograph dan juga kalkulator grafik dapat membuka minda pelajar untuk menyiasat serta meneroka sendiri teori-teori dalam pengajaran matematik. Malah dalam penggunaan internet , kita akan dapati pelbagai  maklumat mengenai matematik boleh didapati; sejarah matematik,  kaedah pengajaran dan permainan-permainan berunsur matematik yang boleh menghiburkan pelajar.

No comments:

Post a Comment