Tuesday 10 April 2012

Guru yang Tidak Mahir atau Terlatih dalam ICT


ICT adalah singkatan daripada Information and Communication Technology (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) yang bermaksud teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data yang berkaitan dengan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah, penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.  Menurut Abdul Rahim Abd Rashid (2001), Dasar pendidikan Malaysia, sememangnya mementingkan inovasi, ia merangkumi inovasi dalam pembangunan pelbagai potensi manusia seperti pengetahuan, budaya saintifik, penguasaan teknologi baru, penggunaan ICT, pengurusan, pemikiran yang strategik dan sebagainya. Manakala Esah Sulaiman (2003), menyatakan bahawa dengan perkembangan teknologi terkini dan aplikasi Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) dalam pengajaran, golongan guru dikehendaki menguasai kemahiran ICT dalam pengajaran. Namun begitu pendidikan di negara kita tidak akan setanding dengan pendidikan di negara-negara yang maju yang lain sekiranya kita masih lagi mempunyai guru yang tidak mahir dalam bidang ICT di sekolah. Hal ini telah telah dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh Norida Suhadi (2001) ke atas 100 orang guru siswazah dan bukan siswazah mendapati  bahawa hanya 10% daripada guru-guru yang menghasilkan bahan pengajaran dalam bentuk multimedia. Kurang mahir merupakan masalah utama yang dihadapi oleh guru dalam menghasilkan  bahan pengajaran berbentuk multimedia.
            Hal ini terjadi kerana disebabkan oleh sikap negatif yang wujud dalam kalangan guru. Contohnya terdapat segelintir guru yang memang tidak mahir menggunakan ICT di sekolah dan mereka tidak mempunyai inisiatif tersendiri untuk menyelesaikan masalah tersebut. Bagi mereka mahir dalam ICT adalah perkara yang merugikan mereka kerana mereka perlu memperuntukkan masa tertentu untuk merancang dan menghasilkan aktiviti P&P dengan menggunakan ICT.
            Kekurangan prasarana dan bahan sokongan serta tiada kakitangan terlatih untuk membantu guru dalam penggunaan ICT merupakan punca lain yang menyebabkan guru tidak mahir atau terlatih dalam bidang ICT di sekolah. Contohnya, terdapat sesetengah sekolah yang  mempunyai makmal komputer tetapi komputer yang terdapat di dalamnya tidak dapat berfungsi dengan baik disebabkan oleh masalah teknikal. Kesan daripada permasalahan ini telah menyebabkan proses P&P yang berlangsung membosankan dan akan membawa kepada penurunan prestasi pencapaian pelajar. Hal ini secara tidak langsung  akan menyebabkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar meningkat serta profesional guru akan dipandang rendah oleh masyarakat. Keadaan ini terjadi sekiranya guru tersebut tidak mengubah diri mereka ke arah yang lebih positif dalam merancang dan menghasilkan aktiviti pengajaran yang menarik dan boleh memberi kefahaman yang jelas kepada pelajar mengenai sesuatu topik yang diajar dalam mata pelajaran Matematik.

No comments:

Post a Comment