Friday 6 April 2012

Pengintegrasian ICT dalam Pembelajaran dan Pengajaran


Kemajuan dalam bidang pendidikan semakin hari bertambah jelas dipengaruhi oleh penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Dalam konteks pendidikan, penggunaan alat teknologi bukan sahaja mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, malah berpotensi besar sebagai alat untuk mengayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran dan tidak terkecuali mata pelajaran Matematik. Teknologi seperti ini mestilah dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru agar dapat menghasilkan suatu output yang memenuhi tuntutan masyarakat. Melalui penggunaan alat teknologi ini, suasana pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan mempunyai potensi yang baik untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Multimedia adalah sebahagian dari cabang ICT yang berkeupayaan menggabungkan pelbagai media seperti teks, suara, imej, animasi dan video dalam sesuatu perisian membuatnya sebagai teknologi media pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan praktikal.
            Pengintergrasian ICT dalam P&P bermaksud penggunaan teknologi pembelajaran untuk memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran. Penggunaan teknologi mesti digabungkan bersama kaedah pengajaran. Menurut Lechner dan Boli (2000), perkembangan terkini menyaksikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menjadi alat pemangkin utama untuk menyebar dan menyimpan maklumat dan seterusnya membantu pelajar membina pengetahuan baru. Namun begitu pengintergrasian ICT dalam P&P tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya semua pihak tidak memberikan kerjasama dan tidak memainkan peranan masing-masing dalam mengintergrasikan ICT dalam P&P. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan kurangnya pengintergrasian ICT dalam P&P.    
Antara punca-punca yang menyebabkan kurangnya pengintergrasian ICT dalam P&P ialah guru tidak pandai dalam menggunakan teknologi terkini merupakan salah satu punca kurang pengintergrasian ICT dalam P&P. Hal ini dapat dilihat apabila terdapat segelintir guru di sekolah yang langsung tidak tahu untuk menggunakan teknologi terkini seperti ICT dalam pengajaran mereka. Hal ini berlaku mungkin disebabkan oleh sikap guru tersebut yang tidak ingin mencuba sesuatu yang baru seperti menurut Albaugh (1997), guru-guru biasanya ragu-ragu dengan idea-idea baru dan terkini kerana mereka merasa selesa dengan apa yang  selama ini mereka telah lakukan. Perkara ini tidak dapat dinafikan lagi apabila segelintir guru di sekolah lebih suka menggunakan kaedah tradisional iaitu kaedah ‘chalk and talk’ dalam proses pengajaran mereka berbanding menggunakan teknologi terkini. Ini terjadi apabila mereka sering beranggapan pencapaian pelajar masih juga meningkat walaunpun mereka hanya menggunakan kaedah pengajaran secara tradisional.
Kekangan masa dengan tugas yang banyak juga merupakan antara punca yang menyebabkan kurangnya pengintergrasian ICT dalam P&P. Seperti yang kita sedia maklum pada era kini tugas sebagai seorang guru merupakan tugas yang sangat mencabar. Hal ini kerana pada era ini tugas guru bukanlah hanya mengajar semata-mata. Justeru, ada segelintir guru yang menjadikan alasan kekangan masa sebagai punca yang menyebabkan kurangnya pengintergrasian ICT dalam P&P. Hal ini adalah kerana mereka sering beranggapan untuk merancang aktiviti pengajaran dengan menggunakan ICT mereka memerlukan masa yang agak lama dan terdapat juga segelintir guru yang menganggap merancang pengajaran dengan menggunakan teknologi seperti ICT adalah perkara yang membazirkan masa mereka. Memang tidak dinafikan untuk menghasilkan aktiviti pengajaran yang berasaskan teknologi seseorang guru perlulah memperuntukkan sedikit masa untuk menghasilkan aktiviti pengajaran yang menarik dan berkualiti. Namun begitu kekangan masa bukanlah seharusnya menjadi punca kepada permasalahan ini seperti kata pepatah “ hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.
Bilangan komputer yang tidak dapat menampung bilangan pelajar di sekolah dan tiada makmal khusus untuk subjek Matematik merupakan punca yang seterusnya. Seperti yang kita sedia maklum di setiap sekolah jumlah komputer yang diperuntukkan oleh kerajaan hanyalah sedikit. Hal ini adalah kerana terdapatnya kekangan-kekangan yang memang tidak dapat dielakkan seperti kekangan kewangan dan sebagainya. Hal ini menyebabkan tidak semua pelajar bepeluang untuk menggunakan komputer yang terdapat di sekolah. Ketiadaan makmal khusus untuk subjek Matematik juga telah menyebabkan guru tidak dapat mengintergrasikan ICT dalam P&P. Hal ini adalah kerana guru mempunyai kekangan dalam menempah makmal komputer untuk digunakan semasa proses P&P.
Kurangnya pengintergrasian ICT dalam P&P telah menyebabkan kurangnya motivasi dan minat pelajar untuk belajar serta menyebabkan pelajar kurang kefahaman dalam mata pelajaran Matematik. Kajian yang dijalankan (Abdul Rahim Mohd Saad, 1998) menyatakan terdapat beberapa stail pembelajaran di kalangan murid. Ada yang lebih selesa belajar secara konkrit berbanding dengan secara abstrak. Ada yang dikategorikan sebagai ‘field dependent’ berbanding dengan murid  ‘field independent’. Ini bermakna aktiviti-aktiviti pengajaran bagi murid yang suka secara abstrak atau tergolong dalam ‘field independent’ adalah mudah tetapi bagi murid yang belajar secara konkrit atau tergolong dalam ‘field dependent’ mereka akan mudah faham seperti beberapa konsep, prinsip, peraturan dan hukum sekiranya terdapat pelbagai bahan ilustrasi, rajah, latihan atau amalan. Ini bermakna murid-murid ini diberi peluang menggunakan kesemua panca indera semasa proses pembelajaran berlaku.
Penelitian De Porter mengungkapkan manusia dapat menyerap suatu materi sebanyak 70% dari apa yang dikerjakan, 50% dari apa yang didengar dan dilihat (audio visual), sedangkan dari yang dilihatnya hanya 30%, dari yang didengarnya hanya 20%, dan dari yang dibaca hanya 10%. Kajian di atas didukung oleh Ismail (2002) yang menyatakan bahawa daya ingatan seseorang dapat menangkap sesuatu sebanyak:
  1. 20% daripada apa yang mereka baca.
  2.  30% daripada apa yang mereka dengar.
  3.  40% daripada apa yang mereka lihat.
  4.  50% daripada apa yang mereka sebut.
  5.  60% daripada apa yang mereka buat.
  6.  90% daripada apa yang mereka baca, dengar, lihat, sebut dan buat serentak
Penggunaan internet dapat menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru dan juga murid untuk meneroka, mencari bahan pengajaran atau rujukan serta penyelidikan. Melalui portal-portal pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan  atau luar, guru dan murid dapat memanafaatkan sebaik mungkin. contohnya dalam eksperimen sains, guru hanya menunjukkan satu-satu eksperimen sekali sahaja tetapi melalui portal pendidikan mereka boleh berulang kali mencubanya. Tambahan pula setiap bahan di dalam portal sentiasa dikemaskini dan murid mendapat banyak bahan baru berbanding dengan buku teks yang diperbaharui lima tahun sekali.(Zalina Yahaya 2001).
Sebagai rumusannya, kepentingan ICT dalam proses P&P tidak dapat dinafikan lagi keperluannya. Pengintegrasian ICT dalam P&P merupakan sarana yang tepat bagi guru dlm menyampaikan pesan-pesan pembelajarn dalam bilik darajah. Pemilihan kaedah serta alat yang tepat juga perlu diambil kira oleh seorang guru untuk memastikan keselarian antara mata pelajaran, waktu, situasi dan kondisi dalam memanfaatkan ICT dalam suatu P&P pada masa berlansungnya Pembelajaran.

No comments:

Post a Comment